BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hukum hudud yang diperjuangkan Pas sebelum ini tidak mengikut tuntutan Islam yang sebenar kerana ia tidak menghukum pesalah secara adil dan saksama.
Katanya, apa yang ditekan dalam hukum hudud yang diperintahkan Allah dan ditekankan di dalam al-Quran adalah menghukum pesalah secara adil antara orang Islam dan bukan Islam.
"Secara terbuka dia (PAS) buat kenyataan kata orang Islam sahaja yang akan
kena (hukum hudud), orang bukan Islam tak kena...kerana takut orang bukan Islam marah dan tak undi mereka.
"Jadi apabila dua orang, Islam dan bukan Islam berpakat lakukan jenayah, yang Islam kena potong tangan, yang bukan Islam hanya kena penjara dua bulan, itu sudah tidak adil.
“Bila hukum, hukumlah dengan adil. Yang ditekankan dalam Al-Quran berkali-kali, adalah jangan kita zalim. Jadi bila hukum disebabkan kepentingan politik, duniawi, itu bukan Islam. Sebab itu kita tolak hukum mereka, kita pegang hukum Allah," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Negarawan Ulung anjuran Felda di sini hari ini.
Dr. Mahathir mengulas sikap pemimpin Pas yang tidak konsisten tentang pendirian mereka berhubung isu hukum hudud dan kerjasama dengan pakatan pembangkang.
Beliau berkata, Malaysia selama ini cuba bersikap adil dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam menjatuhkan hukuman serta tidak menuduh secara membuta-tuli.
Katanya, kerajaan berpegang teguh kepada hukum hudud Islam dan melaksanakannya secara adil supaya sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan jenayah menerima hukuman yang setimpal dan adil.
“Jadi jangan kata kerajaan tidak mahu melaksanakan hukum Islam di negara ini tetapi kita harus melaksanakannya dengan kehendak iIslam dan laksanakan dengan adil,” katanya.
Beliau berkata, selain saksi, Islam juga membenarkan bukti-bukti lain dikemukakan untuk menyokong pertuduhan yang dibuat.
"Kalau tiada saksi yang cukup, adakah kita nak kata bahawa seseorang itu tak kena rogol? Padahal kita tahu apa terjadi pada dia. Tak boleh," tegasnya.
No comments:
Post a Comment