Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi didesak membuat permohonan maaf pada sidang akhbar bagi membuktikan keikhlasan permohonan maaf beliau kepada kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebelum ini yang digelarnya 'kucing kurap' baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan Anak Muda Pulau Pinang, Jahangir Abdul Shukkor berkata, permohonan maaf Jeff Ooi pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013 pada Sabtu lalu dilihat tidak ikhlas kerana dibuat atas desakan Pengerusi DAP, Karpal Singh.
Menurutnya, langkah membuat permohonan maaf pada sidang akhbar itu perlu dituruti Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang menyifatkan Pertubuhan Pendaftar (ROS) sebagai 'anjing'.
"Kami mendesak Jeff Ooi dan Tony Pua tampil membuat permohonan maaf secara terbuka melalui sidang akhbar bagi membuktikan mereka ikhlas.
"Jika tidak, kita anggap Jeff Ooi tidak ikhlas meminta maaf dan Tony Pua semakin biadab kerana masih berpegang kepada gelaran yang diluahkan kepada ROS itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman di hadapan Masjid Kapitan Keling di sini hari ini.
Ahad lalu, Jeff Ooi membuat pengumuman maaf secara terbuka di hadapan kira-kira 689 perwakilan yang menghadiri Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2013 di sini.
Bagaimanapun tindakan Jeff Ooi tersebut dilihat seolah-olah tidak ikhlas berikutan dibuat lebih dua minggu selepas kejadian itu berlaku, selain dilakukan atas desakan Karpal.
Sebelum ini, beberapa pihak mendesak wakil rakyat DAP itu meminta maaf dan menarik balik perkataan 'kucing kurap' yang dibuat Jeff Ooi bagi merujuk kepada kegagalan pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) membuktikan kepadanya terdapat peniaga haram di Pasar Awam Jelutong.
Tony Pua pula dalam laman Facebooknya sebelum ini menggelar ROS sebagai 'anjing' selepas parti itu diarah menjalankan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) berikutan pelbagai pihak mempertikaikan kewibawaan proses pertama pada 15 Disember lalu.
Tambah Jahangir, tindakan kedua-dua individu itu tidak boleh dimaafkan kerana mereka memberi gelaran yang buruk kepada penjawat awam yang banyak berbakti kepada negara.
No comments:
Post a Comment