Pemuda Umno pada Jumaat mengajak PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyertai parti itu dalam memperjuangkan agama Islam di negara ini.
Pelawaan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam ucapan ketika perhimpunan membantah penerbitan filem anti Islam, 'Innocence of Muslims' di Masjid Jamek, Kampung Baru di sini.
Menurut Khairy, pelawaan itu memandangkan solidariti Pemuda Umno dan Pemuda PAS yang sedia terjalin membabitkan kecaman ke atas agama Islam.
Katanya, solidariti untuk perjuangan Islam ini mendapat pandangan berbeza dari rakan PAS dalam Pakatan iaitu DAP.
"Pemuda Umno-Barisan Nasional bersama sahabat dalam pemuda PAS bersolidariti memberi tumpuan ke atas kecaman terhadap agama kami...bukan seperti DAP.
"PAS tak payah bersama DAP, keluar dari Pakatan. Kita berjuang demi agama. Kita bukan mahu berpolitik tapi hal ini membakar semangat kita.
"Jangan sentuh agama, Rasulullah serta agama-agama lain," tegas Khairy.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas persoalan yang ditimbulkan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham di laman Twitternya pada Isnin lalu.
Ngeh mengatakan himpunan membantah penyiaran filem anti-Islam itu sebagai satu provokasi umat Islam sebagai reaksinya kepada kenyataan awal Khairy yang mahu bergabung dengan Dewan Pemuda PAS dalam mengadakan himpunan aman berkenaan.
"Jika inilah jenis pemimpin DAP seperti Ngeh, kita hantar mesej dalam pilihan raya akan datang supaya jangan buang masa dan kita sedia untuk buang mereka (DAP)," kata Khairy.
Perhimpunan berasingan turut diadakan oleh Dewan Pemuda PAS yang berarak dari Lembaga Tabung Haji menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat. .
Terdahulu Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menyatakan hasrat mempelawa Nasrudin hadir pada majlis makan malam 'Cinta Rasul yang akan dianjurkan oleh Pemuda Umno.
Majlis tersebut dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat dan beliau berharap PAS akan sudi menyertai majlis berkenaan.
DIPETIK DARI BLOG SUNGAI RAPAT ONLINE ..DISINI
No comments:
Post a Comment