St George (Utah): Seorang wanita warga emas nyaris maut apabila bongkah batu besar runtuh dan merempuh dinding bilik tidurnya, malam semalam.
Ketika kejadian, Wanda Lee Denhalter, 63, sedang tidur dan tidak sempat melakukan apa-apa untuk mengelak, tetapi dia masih bernasib baik kerana cuma tersepit di antara batu dan dinding rumahnya.
Menurut Wanda, batu sebesar empat meter dan setinggi tiga meter itu merempuh rumahnya kira-kira jam 3 pagi. Dia mengalami patah rahang, tulang dada dan luka besar pada kakinya.
Wanda juga bernasib baik kerana dalam keadaan tersepit itu, dia masih dapat mencapai telefon di rumahnya dan menghubungi perkhidmatan kecemasan bagi mendapatkan bantuan. Jurucakap polis St George berkata, Wanda dikejarkan ke Pusat Perubatan Wilayah Dixie dan menjalani pembedahan hampir empat jam bagi merawat pelbagai kecederaannya. Sementara itu, suami Wanda, Scot Denhalter, berkata dia tiada di rumah ketika kejadian.
“Menurut Wanda, dia terdengar bunyi yang kuat sejurus sebelum batu besar itu melanggar rumah kami,” katanya. Bimbang dengan bunyi itu, kata Denhalter, Wanda beralih ke sebelah katil dan berdiam diri di situ.
Katanya, jika Wanda bangkit dan melihat apa yang berlaku, isterinya itu mungkin terbunuh. “Batu itu menyebabkan katil dan pelbagai perabot lain tercampak lebih satu meter,” katanya.-Hmetro
No comments:
Post a Comment