PETALING JAYA: Pertelingkahan pelajar bertukar ganas apabila seorang budak berusia 12 tahun menikam rakan sekelasnya dengan gunting dalam kawasan sekolah.
Ibu kepada Sharif Lew mendakwa anaknya sebelum ini bertengkar dengan rakan sekelasnya berkaitan kerja rumah pada minggu lepas.
Xu Huan, seorang warga China yang berkahwin dengan lelaki Malaysia, mendakwa anaknya merahsiakan insiden itu sehingga rakan kelas Tingkatan Satu sekali lagi berdepan dengannya selepas kelas pada petang Isnin.
“Budak itu berlari ke arah anak saya dan mula menjerit berbaur perkauman kepadanya dan kemudian menikamnya dengan gunting.
“Selepas menikam anak saya, budak itu mengugutnya sekali lagi sebelum melarikan diri,” kata Xu.
Suaminya segera membawa anaknya ke hospital di mana tiada kecederaan utama dikenal pasti.
Walau bagaimanapun, kejadian itu telah menyebabkan Sharif trauma dan kini tidak mahu kembali ke sekolah.
“Dia menjadi pendiam sekarang. Dia tidak mahu bercakap dengan kami.
“Dia terus memberitahu kami bahawa dia tidak ingat apa yang berlaku,” katanya.
Xu juga telah membuat laporan polis dan mengadu kepada pengetua sekolah mengenai perkara itu.
“Mereka semua berkata akan menyiasat perkara ini.
“Semua kanak-kanak di sekolah berada dalam bahaya jika terdapat kanak-kanak lelaki yang tidak akan berfikir dua kali untuk menikam orang lain dengan gunting,” katanya.
Pengetua sekolah tidak dapar dihubungi untuk memberikan komen.
Timbalan Pengarah Pejabat Pendidikan Daerah Sentul, Nik Ramas Nik Wan enggan mengulas mengenai perkara itu, mengatakan bahawa siasatan masih berterusan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan laporan itu.
- mStar
No comments:
Post a Comment