“Ibu bapa mana sanggup melihat kehidupan anak yang dulunya lincah dan cergas tiba-tiba berubah 360 darjah. Dia kini hanya mampu terlantar di katil dan tidak dapat bercakap.”
Itulah luahan kata hati sepasang suami isteri menceritakan keadaan anak lelaki mereka selepas menjadi mangsa kemalangan dua tahun lalu. Akibat kejadian itu, tempurung kepala Mohd Basri Basharudin, 18, atau lebih mesra dengan panggilan Basri, terpaksa dibuang bagi mengeluarkan darah beku.
Bapanya, Basharudin Bakar, 46, berkata, ketika kejadian, anak ketiganya itu sedang membonceng motosikal yang ditunggang sepupunya. Motosikal itu terbabas dan menyebabkan Basri terpelanting.
Ketika kemalangan, Basri baru memasuki tingkatan lima dan hanya sempat bersekolah selama sebulan.
“Pada mulanya doktor membuang tempurung kepala Basri di sebelah kanan, namun disebabkan masih ada darah beku, doktor sekali lagi membuang tempurung kepalanya di sebelah kiri pada 25 Jun 2011," katanya yang tinggal di Kangar, Perlis.
Jagaan rapi
Basharudin berkata, kini anaknya itu memerlukan sejumlah RM7,000 hingga RM10,000 untuk menggantikan tempurung kepalanya yang baru supaya kelihatan seperti insan normal yang lain walaupun dia tidak mampu berjalan dan bercakap.
“Dengan pendapatan sekarang, saya tidak dapat menampung kos menggantikan tempurung kepala anak saya yang baru. Dia (Basri) hanya mampu makan bubur dan minum susu khas bagi memastikan tubuhnya sihat.
“Setiap tiga jam, kami akan memberi Basri makan, atas nasihat doktor, kerana dia tidak boleh bercakap seperti insan normal lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Darat Barat, Santan.
Basharudin berkata, bagi memastikan Basri sentiasa berada dalam keadaan sihat, dia perlu minum susu khas yang berharga RM62 setiap tin dan sebulan dia memerlukan 10 tin kerana satu tin susu berkenaan hanya mampu bertahan selama empat hari.
Ibunya, Jamilah Kamis, 41, berkata, disebabkan keadaan Basri yang memerlukan jagaan rapi, dia dan anak perempuan sulungnya tidak bekerja bagi menguruskan segala keperluan Basri.
Setiap bulan, Basharudin memperuntukkan RM1,000 untuk makanan dan keperluan anak ketiganya itu.
“Saya dan suami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Sabry Ahmad yang banyak membantu kami serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak lain,” katanya.
Sabry yang juga Exco Pertanian, Industri dan Asas Tani, menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Basri bagi menampung perbelanjaan hariannya.
Kos pembedahan
Sebelum ini, keluarga Basri membuat permohonan katil khas daripada Adun Santan itu bagi memastikan Basri tidur dalam keadaan selesa dan memudahkan urusan penjagaan Basri.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Darat Barat, Fazil Yob merupakan individu prihatin yang telah memaklumkan mengenai Basri kepada Sabry.
Sabry ketika ditemui berkata, sepatutnya di usia ini, Basri sedang menuju ke menara gading. Namun disebabkan kemalangan itu, remaja itu terpaksa terlantar di katilnya.
"Bagi memastikan tempurung kepalanya diganti semula, keluarganya terpaksa mencari sejumlah kos yang agak besar untuk menampung pembedahan itu,” katanya.
Untuk tujuan itu, Sabry berharap pelbagai pihak dapat membantu keluarga Basri untuk mengumpulkan sejumlah wang bagi tujuan pembedahan tempurung kepalanya.
Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan ditanggung oleh Basri bolehlah salurkan bantuan dan derma melalui akaun Sinar Di Hati seperti yang tertera.
Maybank - SINAR KARANGKRAF SDN BHD : 506164-019988