KUALA LUMPUR, 1 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggariskan tujuh rukun untuk dilaksanakan bagi menjamin UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Tujuh rukun berkenaan ialah patuh kepada pemimpin; mengatur strategi yang tepat; memahami peranan dan tanggungjawab yang hendak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh; mengenali musuh dalam pilihan raya khususnya pembangkang; memperkukuhkan perpaduan di semua peringkat parti; memastikan berada dalam keadaan siapsiaga untuk ‘peperangan’ pilihan raya dan berjuang habis-habisan hingga ke saat akhir.
“Tujuh rukun yang saya sebutkan tadi…ini nanti akan kita sebarkan supaya dapat diteliti di semua peringkat pemimpin dan anggota parti di seluruh negara untuk menentukan agar kita beroleh kejayaan.
“Kita mahu menentukan kubu-kubu kuat kita dipertahankan agar kawasan yang kalah dapat kita tebus kembali,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Menjelas lanjut mengenai tujuh rukun itu, timbalan perdana menteri berkata ketaatan dan kesetiaan kepada pemimpin adalah satu perkara yang wajar malahan wajib untuk diikuti dan dilaksanakan seluruh anggota UMNO.
“Kita harus menerima segala bentuk keputusan yang akan dibuat oleh pemimpin parti kita mengenai hal yang berkaitan pilihan raya sama ada berkaitan tugas dan tanggungjawab yang harus kita lakukan, pemilihan calon dan kawasan pilihan raya yang ditempatkan untuk setiap parti komponen,” katanya.
Muhyiddin berkata UMNO perlu mengatur strategi yang tepat untuk mempertahan kekuatan yang ada dengan menentukan kawasan dan negeri yang telah menang dalam pilihan raya lepas terus kekal di tangan BN dan merampas semula kawasan dan negeri yang kalah, supaya memperoleh kejayaan yang lebih besar pada PRU-13.
“Oleh itu adalah amat mustahak pimpinan negeri, bahagian dan cawangan, apa sahaja perkara yang diputuskan di peringkat pusat dan negeri diterjemah dan dilaksanakan dengan berkesan untuk meraih sokongan yang besar daripada rakyat,” katanya.
Beliau berkata anggota parti perlu memahami peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksana dengan lebih bersungguh-sungguh untuk berhadapan dengan cabaran daripada parti pembangkang.
“Kerana kita tahu di hadapan kita itu adalah satu cabaran gerakan musuh parti pembangkang yang kita bincang panjang lebar di sini. Semua ideologi songsang yang mereka amalkan boleh membawa kesan buruk kepada generasi kita, tidak harus dibiarkan berleluasa,” katanya.
Beliau berkata benteng kukuh itu mengkehendaki semua anggota UMNO memainkan peranan masing-masing, dan jika dapat dilaksana secara rapi akan mencapai kemenangan.
Di samping mengenali ‘musuh’ parti iaitu Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhyiddin berkata anggota UMNO perlu mengetahui gerakan yang dilakukanpembangkang di peringkat nasional, bahagian dan cawangan.
Katanya, mereka perlu memastikan gerakan pembangkang tidak menembusi setiap kawasan UMNO.
Untuk tujuan itu, beliau berkata tiga sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri perlu mengejatkan perpaduan serta menyelaras tindakan di semua peringkat.
“Semua infantri kita iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri pimpinan di peringkat bahagian dan negeri perlu bergerak secara sederap dalam setiap langkah yang kita ambil untuk menentukan jangan ada perbalahan,” tegas Muhyiddin.
Rakyat, katanya, sudah sedar UMNO dan BN telah membawa proses transformasi yang luar biasa dan mereka kini hanya mahu melihat perpaduan dalam UMNO kukuh.
Menyentuh kesiapsiagaan UMNO, Muhyiddin menegaskan setiap saat itu penting dan anggota parti perlu memastikan persediaan fizikal, mental dan rohani untuk menghadapi cabaran ‘peperangan’ yang amat hebat.
“Untuk kita memastikan kita berada dalam keadaan siapsiaga yang sebenarnya, kita nak tentukan bilik gerakan yang dibentuk di peringkat negeri dan bahagian serta pihak yang dipertanggungjawabkan digerak sepenuhnya mulai hari ini sampai waktu hari pilihan raya diumumkan oleh presiden parti.
“Jangan kita leka dan lalai dalam memastikan semua bentuk logistik dilengkapi di semua peringkat,” katanya.
Muhyiddin menarik perhatian gerakan pembangkang dilihat semakin tergugat dan mungkin bertindak secara ‘desperado’ berikutan perhimpunan agung UMNO yang memperkukuh tekad parti untuk berjuang habis-habisan.
Selain itu, beliau mengingatkan anggota UMNO supaya bekerja keras sebagaimana yang ditunjukkan oleh presiden parti.
“Ucapan presiden memberi keyakinan bahawa kita bukan sahaja berada di pihak yang benar tetapi juga pasukan pilihan, dan insya-Allah akan berjaya pada PRU. Presiden (parti) telah membakar semangat kita untuk bekerja lebih gigih agar matlamat perjuangan kita untuk rakyat dan negara tercapai,” katanya