Alhamdulillah berita baik baru aku terima. Ternyata mimpiaku bukan sekadar mimpi . Menurut dari laporan Sinar Harian Pas sedia bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.  

   
Katanya, Pas boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin Pas dan Umno boleh berada bersama di atas satu pentas.  
   
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.
   
"Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum di Pokok Sena, dekat sini hari ini.
   
Abdul Hadi berkata, jika perbincangan itu melibatkan soal Islam, Pas akan berpegang kepada dasarnya iaitu berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas.  
   
"Pas pernah membuka pintu mengajak Umno bermuzakarah pada 1980-an dengan berdasarkan perkara-perkara berkenaan," katanya.
   
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor sebagai berkata, kerjasama antara Umno dan Pas untuk menyatukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan perkara mustahil.
   
Mengenai cadangan Dewan Ulama Pas supaya tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) antara parti itu dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang dikaji semula, Abdul Hadi berkata, Dewan Ulama Pas berhak mengemukakan usul ke muktamar Pas akhir tahun ini yang kemudian akan dibawa ke sebuah jawatankuasa untuk ditapis.
   
"Terpulang kepada Dewan Ulama Pas, bukan hak kita dan jawatankuasa usul akan melihatnya. Kadang-kadang usul ini tak perlu dibahas tetapi diselesaikan secara peringkat dalaman parti," katanya. - Bernama