AYER KEROH – Seramai 15 pelayan pelanggan (GRO) bersama dua lelaki tempatan sanggup berhimpit dalam sebuah lubang rahsia bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Melaka (JIM).
Pengarah JIM negeri, Kamalludin Ismail berkata, bilik di bawah tangga premis pusat hiburan di Taman Melaka Raya itu dijangka tidak akan disedari penguatkuasa kerana pintunya diletakkan di belakang sofa.
Menurutnya, anggota penguatkuasa terpaksa mengumpil pintu berkenaan pada serbuan jam 9.45 malam.
“Pada mulanya, kita terpaksa menunggu setengah jam di luar premis kerana pintu dibuka secara automatik dari dalam.
“Hasil siasatan rapi, kita menjumpai lubang rahsia kira-kira 6x7 kaki persegi dan di dalamnya 15 wanita dan 12 daripadanya warga Vietnam sementara dua lelaki tempatan dipercayai pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Penguatkuasa JIM negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, semalam.
Katanya, mereka di antara 25 yang ditahan selepas memeriksa seramai 30 warga asing berusia di antara 17 hingga 33 tahun.
Dua wanita Vietnam turut ditahan kerana melakukan aktiviti pelacuran pada serbuan di sebuah rumah di Taman Ayer Keroh Heights.
Sementara serbuan bermula jam 4 petang itu turut menahan empat lelaki warga Nepal di sebuah resort di Gapam, Jasin kerana tidak memiliki permit sah menetap di negara ini.
Empat lelaki warga tempatan turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana sengaja memberi perlindungan kepada pendatang tanpa izin.
Manakala, siasatan turut dijalankan di bawah Peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat permit selain Seksyen 6(1)(C ) Akta Imigresen 1959/63 disebabkan tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.
Dalam pada itu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan kerana membenarkan seorang warga Sri Lanka menggunakan pasportnya untuk diperbaharui dengan keuntungan RM2,000.
“Kita menahannya selepas lelaki ini membuat urusan pasport di pejabat di sini dan penipuan ini disedari apabila melihat rupa paras mereka tidak sama.
“Dia mengaku pertama kali melakukan kegiatan ini dan kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 12 Akta Pasport 1966,” katanya.