Sebanyak 20,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik serta sistem pengangkutan monorel akan dibina di negeri ini sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat untuk mentadbir semula kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 10,000 unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan 10,000 lagi oleh JKP Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Katanya, projek pembinaan kediaman tersebut bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Rumah yang dibina oleh PR1MA Berhad berharga lebih rendah di pasaran, misalnya kalau harga pasaran sebuah rumah RM500,000, kita akan jual RM300,000 kepada rakyat," katanya ketika berucap dalam Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan beberapa menteri Kabinet.
Hadir sama, Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis dan juga Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.
Najib berkata, rumah PR1MA itu kini dibuka untuk pendaftaran dalam talian dan akan dicabut undi secara telus.
Menurutnya, janji kerajaan BN itu tidak sama seperti kerajaan DAP Pulau Pinang kerana tiada rumah kos rendah atau mampu milik yang dibina di negeri ini seperti disebut dalam Laporan Audit Negara 2010.
Beliau menambah, pemimpin pembangkang juga hanya pandai berjanji kepada rakyat tetapi tidak ditunaikan.
"Inilah janji saya di depan ribuan rakyat Pulau Pinang dan bukan macam janji Ketua Pembangkang yang mahu mengatasi masalah rumah di Kampung Buah Pala dalam tempoh dua minggu, tetapi mereka tidak tunaikan.
"Semua orang tahu penduduk Kampung Buah Pala tidak dapat rumah seperti yang dijanjikan dan yang selesaikan masalah 26 keluarga India ialah kerajaan BN," ujarnya.
Sementara itu katanya, sistem pengangkutan monorel itu bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius di negeri ini.
Katanya, penduduk Pulau Pinang berhak disediakan dengan kemudahan.
SUMBER BSK
No comments:
Post a Comment