بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Khutbah Jumaat : “Tangisan Gaza”
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “ TANGISAN GAZA”.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketika umat Islam bergembira dengan kedatangan awal Muharam, sekali lagi dunia di gegarkan dengan kekejaman manusia yang tidak bertamadun rejim Israel. Operasi yang dinamakan “Pillar of Defence” ini telah membunuh orang awam yang tidak berdosa. Sebenarnya kezaliman dan keganasan yang telah dilakukan oleh mereka semenjak berpuluh-puluh tahun dulu telah menyaksikan isu-isu kemanusian sering ditimbulkan dan mereka tidak pernah mengenal mangsa sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita atau orang biasa. Mereka akan membunuh tanpa rasa belas kasihan dan hak.
Keganasan mereka ini telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 157:
Maksudnya: “Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka dan mereka kufur akan ayat-ayat keterangan Allah dan mereka menbunuh Nabi-nabi dengan tiada suatu alasan yang benar dan mereka berkata: hati kami tertutup. Bahkan Allah telah memeterai hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja diantaranya. “
.
Persoalan besar timbul ialah mengapa bangsa Yahudi berterusan menjadi ganas dan kejam tanpa ada rasa peri kemanusiaan?. Ini disebabkan mereka terlalu taksub dengan bangsanya yang dianggap sebagai pilihan Tuhan, bangsa yang disayangi tuhan, halal membunuh orang yang bukan sebangsa Yahudi, mendapat sokongan kuat daripada negara kuasa besar dan beberapa negara Eropah serta negara Islam yang bersekongkol dengan mereka. Mimbar merasa kesal dengan beberapa negara yang lantang menyuarakan dan mempertahankan hak-hak asasi manusia, demokrasi dan sebagainya, tetapi tidak berlaku adil dan berlepas tangan apabila berlaku pencabulan hak asasi rakyat Palestin. Penubuhan negara Israel secara haram diiktiraf sah oleh pihak barat tetapi mereka tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin di negara mereka sendiri.
.
.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kekejaman dan keganasan Israel ke atas Palestin mengingatkan kita kepada keganasan Yakjuj dan Makjuj yang disebutkan dalam al-Quran. Menurut pandangan seorang ulama apa yang dimaksudkan Yakjuj dan Makjuj adalah merujuk kepada kuasa Barat iaitu Amerika Syarikat dan Yahudi.
Profesor Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, Syeikhul Azhar telah menggambarkan sifat keji bangsa ini melalui bukunya ‘Israel fi al-Qur’an wa as-Sunnah’, bahawa Israel sebagai bangsa penjenayah kejam yang tidak membezakan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya. Israel juga terkenal sebagai bangsa penjenayah yang kuat memusuhi Islam dan Arab. Golongan ini bukan sekadar ingin menguasai Palestin, malah Jordan, Syria, Lebanon, Iraq, Semenanjung Sinai dan termasuklah Madinatul Munawwarah.
Sifat keji bani Israel ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 78:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿٧٨
Maksudnya: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.”
.
.
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Mimbar amat kesal dengan tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 Mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Semasa Perang. Mimbar mengecam sekeras-kerasnya serangan ini dan berpendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sebarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin di Gaza. Adalah satu hakikat bahawa Islam dan ummah tidak boleh bergantung kepada simpati dan bantuan golongan kuffar. Oleh kerana itulah Allah SWT memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam dan ummah melainkan mereka dijadikan sanjungan dan pujaan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120:
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّـهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ ﴿١٢٠
Maksudnya: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
.
.
Muslimin Yang DiMuliakan Allah,
Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Amatlah salah, kita membiarkan saudara kita di Palestin menderita, tanpa kita melakukan apa-apa. Sedarlah, bahawa kita bukan sahaja wajib membela dan meringankan penderitaan saudara seagama kita di Palestin, tetapi kita sebagai umat Islam juga wajib turut sama mempertahankan kesucian Baitul Maqdis kerana ia adalah kiblat pertama umat Islam. Sheikh Yusof al-Qardhawi dan Dr. Wahbah Zuhaili merupakan ulama terkemuka dunia menegaskan bahawa umat Islam wajib membantu saudaranya yang kesusahan dalam pelbagai aspek yang diperlukan walaupun terpaksa mengikat perut.
.
Justeru itu, mimbar yang mulia ini menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan mereka. Bantuan kepada mereka boleh dimulakan dengan berdoa kepada Allah SWT sehinggalah memberi tekanan-tekanan yang boleh menyebabkan rejim Israel dihalau keluar daripada negara Palestin. Sewajarnya kita sama-sama bangkit bersatu hati tanpa mempedulikan perbezaan latar belakang, ekonomi, miskin atau kaya, berbeza latar belakang fahaman atau politik. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. lebih-lebih lagi dalam menangani isu yang membabitkan agama dan masa depan umat Islam. Kita ketepikan segala perbezaan-perbezaan tersebut atas dasar persaudaraan dan umat seagama kita.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠
Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.”
.
Mungkin sekali imbas amat sukar untuk kita mengalahkan Israel dan sekutunya, kerana mereka kerajaan yang kebal, berada di atas undang-undang antarabangsa dan boleh bertindak sesuka hati kerana ia dinaungi oleh kuasa barat. Mereka juga memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat, namun sebagai orang yang beriman, kita mesti percaya bahawa dengan kuasa Allah SWT mengatasi segalanya.Berdasarkan pedoman sejarah Islam, tentera Islam pernah berjaya menewaskan kubu kuat puak Yahudi dalam peperangan Khaibar pada tahun 7 Hijrah. Dalam peperangan itu Rasulullah SAW memimpin tentera Islam seramai 1,400 orang tentera mengepung selama 10 hari. Tentera Islam diketuai Saidina Ali berjaya menewaskan pertahanan Yahudi dan mereka menyerah kalah.
.
Oleh itu, mimbar yang mulia pada hari ini, menyeru para jemaah dan seluruh umat Islam di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan bacaan qunut nazilah, memohon doa kehadrat Allah SWT agar dikurniakan keselamatan dan keamanan kepada rakyat Palestin, diberikan kekuatan semangat dan kecekalan hati serta kemenangan dalam menghadapi kezaliman Israel. Jangan kita biarkan bumi Palestin dinodai. rakyat Palestin berhujankan peluru, bermandikan darah dan jangan kita biarkan tangisan Gaza ini berpanjangan. Semuga Allah SWT merestui segala usaha yang kita lakukan.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 160:
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠
Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.”
.
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“Tangisan Gaza”
(23 November 2012 / 9 Muharam 1434H)
.
No comments:
Post a Comment