Seorang isteri melalui detik tragis dalam hidupnya apabila melihat sendiri kesengsaraan suaminya yang maut ditembak dan ditetak dalam sebuah warung di Kemasin, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, bekas tentera, Sauti Muda, 57, maut ketika bersama isterinya, Sarina Abdullah, 40, bersarapan di kedai sepupunya yang terletak 600 meter dari rumah mereka.
Menceritakan detik cemas itu, Sarina berkata, ketika bersarapan, dia ternampak dua lelaki memberhentikan motosikal di depan warung lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah suaminya kira-kira jarak enam meter.
“Arwah sempat melompat masuk bersembunyi bawah meja. Namun suspek masuk ke dalam warung dan melepaskan beberapa lagi tembakan sebelum seorang lagi suspek datang menetak mangsa dengan pedang sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian dia hanya mampu meraung, malah pelanggan yang ada di kedai juga tidak mampu membantu kerana tergamam dengan suasana tengang di warung tersebut.
Sarina berkata, dia tidak menyangka sarapan pagi semalam adalah kali terakhir bersama suaminya.
“Pagi semalam arwah kejutkan saya sebab waktu Subuh sudah lewat. Selepas itu kami keluar membeli nasi di Beris Kubur Besar sebelum makan di warung itu,” katanya yang mempunyai enam anak.
Sarina berkata, minggu lalu anak lelakinya yang berusia 16 tahun pernah dikejar lelaki bermotosikal dan mengacukan pisau kepada anaknya.
Malam kelmarin juga rumahnya dikatakan dikelilingi beberapa lelaki kerana terdengar bunyi itik bising dan kelibat orang di luar rumahnya.
“Malam tadi (kelmarin) juga ada orang kelilingi rumah kami. Tetapi kami tidak pedulikannya. Ketika kami keluar membeli sarapan, anak beritahu ada orang datang mengelilingi rumah kami,” katanya yang redha dengan pemergian suaminya itu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani yang mengesahkan kejadian percaya kes tersebut bermotifkan dendam dan siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek yang tidak bertopeng dikenalpasti oleh saksi dan dipercayai aktif menjalankan aktiviti jenayah di sekitar Bachok,”katanya.
Ab Rahim berkata, gerakan mengesan suspek dijalankan segera dengan mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi.SINAR
No comments:
Post a Comment