SERI ISKANDAR - Seorang pekerja ladang kelapa sawit di Felcra Nasaruddin terkejut apabila menjumpai dua biji bom di ladang tempatnya bekerja.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, dua biji bom berkenaan adalah bom lama dan masih lagi aktif.
Menurutnya, pekerja ladang kelapa sawit berkenaan menemui bom berkenaan pada jam 2.30 petang kelmarin ketika melakukan kerja-kerja di ladang sawit berkenaan.
“Pekerja ladang itu telah bertindak membawa balik dua biji bom itu ke rumahnya kerana tidak mengetahui ia adalah bom.
“Setelah diberitahu rakan lain objek itu adalah bom, dia bertindak membawa objek berkenaan ke dewan berhampiran,” katanya.
Katanya, setelah siasatan dilakukan mendapati objek berkenaan adalah bom lama dan tindakan memusnahkan bom berkenaan dijalankan.
“Kita mendapati kawasan bom itu dijumpai sudah sering kali menjadi tempat bom lama dijumpai sebelum ini.
“Saya juga ingin mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah berhati-hati dengan tidak mengusik atau membawa balik jika menjumpai sebarang objek yang agak dikhuatiri seperti bom.
“Ini kerana kita bimbang berlakunya kejadian tidak diingini dan orang ramai dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menjumpai objek seumpama ini,” katanya
No comments:
Post a Comment