Sebelum bermulanya kempen rasmi PRU-13 sebaik saja proses penamaan calon dilakukan, parti politik harus menyediakan calon terbaik dan mampu menang. Isu calon ini dilihat menjadi isu duri dalam daging. Pakatan pembangkang dilihat menghadapi masalah yang tidak berkesudahan walaupun pembangkang dilihat lebih awal mengumumkan calon mereka khususnya di kerusi Parlimen.
PAS, DAP dan PKR dilihat masih bercakaran untuk merebut kerusi yang ingin ditandingi seperti yang berlaku di Perlis, Johor, Sabah, Perak dan Kedah. Terbaru, mungkin PAS dan PKR akan meletakkan calon masing-masing di tempat yang sama di DUN Sungai Acheh di Pulau Pinang. Sekiranya mereka gagal berkompromi, maka ini akan dijadikan bahan kempen BN mengkritik bagaimana pakatan ingin mentadbir negara dan negeri sekiranya isu calon atau pertandingan tiga penjuru pun mereka tidak dapat selesaikan.
Sekiranya nama calon dapat dimuktamadkan ketika tarikh penamaan calon, maka tempoh berkempen selama 15 hari akan dimanfaatkan untuk memperkenalkan calon, dasar parti dan agenda masa depan negara berasaskan manifesto yang telah dibentangkan. Yang pasti, strategi kempen politik telah semakin rancak dijalankan di seluruh negara.
Pada PRU-13, BN mempertaruhkan sebanyak 33 peratus muka baharu bagi kerusi Parlimen manakala 49 peratus lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri.
Sekadar menyebut, antara muka-muka baharu yang menjadi harapan BN adalah bekas Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (rakan BN) yang akan bertanding di Parlimen Shah Alam, Prof. Abu Bakar Mohd. Diah (Parlimen Tangga Batu), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertanding di Parlimen Jerai dan ramai lagi.
Calon-calon baharu ini telah menepati aspirasi pengundi muda (bawah 40 tahun) di negara ini yang dijangka separuh daripada 13.3 juta pengundi yang berdaftar.
Hasrat BN untuk menawan lebih banyak kerusi di negeri-negeri yang kalah pada PRU terdahulu diyakini dapat dicapai dengan mudah.
Hal ini kerana BN telah mendapat formula pilihan raya dengan mempertaruhkan calon-calon yang memiliki kekuatan tersendiri.
Semoga gabungan calon muka baharu dan lama dapat memberi impak yang besar kepada keputusan PRU-13 pada 5 Mei nanti.
- SUMBER
No comments:
Post a Comment