Pages

Moh Follow ANAK JATI MALAYA

AMARAN ANAK JATI MALAYA

~Penulisan, foto, grafik dan lain-lain imej yang dipaparkan dalam blog ANAK JATI MALAYA ini adalah merupakan pandangan peribadi sebagai rakyat Malaysia yang bebas bersuara dan tidak mewakili mana-mana pihak

~Pengurusan blog tidak akan bertanggungjawab atas sebarang tuntutan, kerugian, kelemahan dan ketidakpuashatian mana-mana pihak yang bakal terjadi disebabkan artikel yang disiarkan di sini.
Terima Kasih.

█║▌│█│║▌║││█║▌║▌║▌║█
█║▌│█│║▌║││█║▌║▌║▌║█
© ΘRIGINAL AJM PRΘFILE
✔ Verified Θfficial by BLOGGER
© Profile Θriginal & Θfficial®
Real ██████████ 1ΘΘ%

Wednesday 26 December 2012

Nasib Pulau Pinang terletak pada undi mereka sendiri



KISAH di sebalik Kongres Kebangsaan DAP Ke-16 masih menjadi bualan sama ada melalui media cetak, media elektronik, media baru atau mulut ke mulut. DAP, parti terakhir yang mengadakan perhimpunan sebelum ‘turun padang’ berjuang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan pada 2013, paling lewat bulan Mei atau Jun, dalam tempoh 60 hari selepas berakhirnya penggal Parlimen sekarang. DAP mahu melangkah ke Putrajaya melalui kempennya ‘Seratus Hari ke Putrajaya’, maknanya, jangkaan parti itu PRU-13 diadakan pada pertengahan Mac.

Dengan barisan baru jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) yang sekali lagi diketuai oleh Karpal Singh selaku Pengerusi dan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, DAP telah ‘melancarkan’ roket perjuangannya menuju Putrajaya melalui ucapan Guan Eng yang bertemakan ‘Perubahan di tangan mu’.

Sejak dulu, DAP memang ‘pakar’ dan begitu kreatif mencipta slogan untuk menarik perhatian pengundi. Keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran yang bersih cukup sinonim dengan DAP. Begitu juga dengan Tukar!, Change!, Enough is Enough, Try Five Years dan Chief Minister with POWER. Khabarnya pada kali ini DAP sudah pun menyediakan lagu tema kempen PRUnya iaitu video bertajuk Ubah Rocket Style yang memaparkan pemimpin-pemimpin DAP beraksi mengikut parodi tarian ‘kuda’ popular penyanyi Psy dari Korea iaitu Oppa Gangnam Style.

DAP seperti ucapan dasar Guan Eng mahu bertanding di lebih banyak kerusi pada PRU akan datang iaitu tambahan tiga lagi kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada 2008, DAP memenangi 28 daripada 47 kerusi Parlimen dan 73 daripada 102 kerusi DUN yang ditandingi. Di Pulau Pinang, DAP menang 19 kerusi DUN yang ditandinginya seterusnya membentuk kerajaan negeri bersama PKR (9 kerusi) dan Pas (1 kerusi).

Kata Guan Eng: “Buat julung kalinya dalam seumur hidup, ini merupakan masa untuk membuat perubahan ke arah versi baharu Malaysia bagi permulaan untuk menghubungkan antara satu sama lain sebagai bangsa Malaysia...perubahan di tangan anda,".

Perkataan ubah dan perubahan ini sudah lama didengar sejak era bapa Guan Eng iaitu Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung DAP. Memang berlaku perubahan apabila pada PRU lalu, DAP muncul sebagai peneraju kerajaan negeri Pulau Pinang dan hampir memimpin Perak. Kini, Karpal Singh dan Guan Eng mengekalkan kuasa mereka untuk penggal ketiga berturut-turut. Adakah PRU-13 akan membuahkan hasil yang lebih baik atau sebaliknya?

Halangan DAP pada PRU akan datang di Pulau Pinang sekarang ialah Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO. DAP tentunya risau jika sekutunya PKR dan Pas tidak mampu menyumbang kerusi DUN pada PRU akan datang. BN melalui UMNO memenangi 11 kerusi dan DAP pastinya gelisah jika UMNO mampu memperbaiki prestasinya kali ini dengan memenangi semula kerusi Penanti, Sungai Bakap dan Batu Maung (PKR) atau mampu menambah satu lagi kerusi milik Pas di Permatang Pasir. Bagaimanapun UMNO tidak boleh lupa rekod PRU lalu apabila enam kerusi yang dimenanginya bukanlah dengan majoriti selesa. Ada kerusi yang dimenangi UMNO hanya dengan majoriti 250 hingga 535 undi sahaja. Sebaliknya majoriti yang dimenangi parti-parti pakatan pembangkang melebihi 1,000 undi kecuali di Batu Uban (611 undi).

Bagaimanapun ‘perubahan di tangan mu’ mungkin akan mengubah keadaan. Mungkin tangan yang memangkah roket atau bulan akan kembali memangkah dacing. Jika pengundi BN yang berpaling tadah pada 2008 menyahut seruan membuat perubahan, peluang BN melalui UMNO untuk meningkatkan jumlah kerusi kepada 14 atau 15 kerusi boleh berlaku. DAP juga tentunya bimbang sekiranya prestasi sekutu utamanya PKR akan merudum di enam kerusi lain melalui calon-calon BN yang akan diwakili MCA, Gerakan atau MIC. Adakah Gerakan, MCA atau MIC tidak mampu memperbaiki pencapaian dengan menyumbang sekurang-kurangnya enam kerusi?

Begitu juga dengan kerusi DAP yang dimenangi pada PRU lalu. Congakan ini tentunya menimbulkan kerisauan DAP sama ada ia mampu mengekalkan kuasanya di Pulau Pinang atau menyerah kembali kepada BN. Memang sukar untuk meramalkan suasana di Pulau Pinang. Kuasa penentu terletak kepada pengundi-pengundi di 25 kerusi yang majoritinya adalah pengundi Cina. Inilah hakikat politik di Pulau Mutiara itu. Jika UMNO tidak mampu ‘menyerlah’, Gerakan, MCA dan MIC pula tidak berupaya bangkit semula, maka elok BN lupakan saja hasrat mengambil semula Pulau Pinang.

Jika diselak kembali pencapaian DAP sebelum ini, parti itu pernah mengalami turun naik dalam PRU di negeri itu.

Paling manis pencapaian DAP sebelum 2008 ialah pada tahun 1990 apabila memenangi 14 kerusi berbanding BN 19 kerusi. Sebelum itu pada 1986, DAP menang 10 kerusi dan BN 23. Ketika itu UMNO menjadi ‘penyelamat’ kepada BN.

DAP menerima tamparan hebat pada 1995 apabila Gerakan, MCA dan MIC bangkit kembali sehingga membantu BN menguasai 32 kerusi. DAP pula sekadar memenangi satu kerusi melalui Chong Eng yang mengalahkan calon BN dan PBS dengan majoriti 62 undi di Batu Lancang.

Menariknya, pada tahun yang sama, nama-nama besar DAP kecundang. Mereka termasuklah Kit Siang, Karpal Singh, P.Patto, Gooi Hock Seng, Teoh Teik Huat dan Peter Paul Dason. Pada tahun yang sama, DAP juga menurunkan sembilan calon Melayu iaitu Noor Halil Abd Ghani (Seberang Jaya), Mior Ariff Mior Hassan (Permatang Pasir), Abdul Razak Abdul Hamid (Sungai Bakap), Khairul Annuar Ahmad (Sungai Acheh), Ahmad Nor (Sungai Pinang), Rosli Hanafi (Batu Uban), Zulkifli Mohd Noor (Bayan Lepas), Mohd Noor Maruki (Telok Kumbar) dan Mohd Yushof Awang Karim (Telok Bahang).

Malangnya sama seperti nasib lapan orang Melayu yang bertanding kerusi CEC pada kongres DAP yang lalu, tidak seorang pun yang menang. Bagaimanapun ketika itu, DAP tidak sebulu dengan Pas dan di sesetengah kawasan pula terpaksa berhadapan dalam pertandingan tiga penjuru.

Adakah apa yang berlaku pada 1995 akan berulang di Pulau Pinang? Maksudnya BN menang majoriti besar dan DAP kehilangan tokoh-tokoh utamanya? Adakah keberanian DAP menurunkan sembilan calon Melayu ketika PRU itu akan berulang lagi pada tahun depan? Atau kedudukan 1990 berulang dengan BN menang tipis?

Bagi BN menang besar tentunya sukar kerana landskap politik 1995 dan 2013 tentunya tidak sama. Bagaimanapun seperti diselak minggu lepas, peluang untuk DAP bertanding lebih kerusi termasuk meletakkan lebih ramai calon Melayu tetap ada.

Adakah DAP di bawah pimpinan Karpal dan Guan Eng lebih berani untuk meletakkan lebih ramai calon Melayu pada PRU akan datang? DAP tentunya lebih bersedia kali ini kerana kuasa sudah ada dalam genggaman. Cuma kuasa penentunya tentulah terletak kepada pengundi-pengundi seperti kata Guan Eng, perubahan di tangan anda!

Sumber:UTUSAN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...