Gelombang biru di Kedah nampaknya sudah hampir pasti akan menenggelamkan
PAS. Sebenarnya, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana
kemenangan PAS pada 2008 bukanlah kerana rakyat Kedah menyokong PAS tapi
kerana ingin ‘mengajar’ UMNO.
Nampaknya, ‘pengajaran’ yang diberikan adalah berbaloi kerana kepimpinan
Dato’ Seri Najib hari ini nampaknya ikhlas melakukan penambahbaikan.
UMNO Kedah sudah lama mengalami masalah dalaman. Menurut rakyat Kedah,
UMNO Kedah sebelum ini sudah mencapai tahap tepu.
Teguran mahupun kritikan tidak pernah dipedulikan seolah-olah tiada apa
yang mampu menjatuhkan mereka. Justeru, rakyat pun menghukum mereka
dengan memberi undi kepada PAS.
Akibatnya, rakyat juga turut menerima pengajaran tentang siapa dan
apakah PAS. Satu penggal di bawah PAS sudah cukup untuk memperlihatkan
betapa parti itu tidak punya kebolehan dari apa segi sekali pun.
Jika selama ini umat Melayu sering menjulang mereka yang
berlatarbelakangkan agama, yang mampu memberi khutbah, hafaz AlQuran dan
fasih berbahasa Arab, sebagai orang yang paling layak memimpin, kini
mereka sedar bahawa pendapat itu adalah salah.
Ilmu agama mungkin menjadikan seseorang itu manusia yang baik, tetapi ia
tidak menjamin yang beliau akan menjadi pemimpin yang baik. Orang yang
baik dengan pemimpin yang baik adalah dua perkara yang berbeza. Untuk
menjadi pemimpin yang baik, seseorang itu perlu memahami ekonomi,
kewangan, sejarah dan juga selok belok pengurusan.
Oleh kerana tidak mempunyai semua ilmu ini, maka kita melihat bagaimana
Dato’ Seri Azizan Razak, Menteri Besar Kedah terkapa-kapa dan
terpinga-pinga meneraju negeri. Beliau hilang kawalan ke atas
segala-galanya sejak dari mula lagi.
Beliau ditipu dan dimanipulasi sesuka hati oleh orang-orang kelilingnya.
Beliau tidak mampu memahami laporan kewangan apatah lagi untuk mencari
penyelesaian ke atas setiap masalah. Beliau mendabik dada sebagai anak
petani dan lebih tahu perihal pembalakan dan perladangan tetapi beliau
langsung tidak tahu mengurus pembalakan atau perladangan itu.
Akhirnya, habis balak ditebang tanpa menghiraukan kawasan tadahan dan
sehingga gondol segala hutan dan bukit-bukau di negeri jelapang padi
tersebut. Ia mungkin membawa hasil segera kepada negeri, namun ia juga
akan habis dengan segera juga. Apatah lagi, apabila kerajaan negeri
tidak mampu menjana kewangan dan terus menambah hutang serta membazirkan
wang.
Selain tidak berkebolehan, Azizan juga tidak punya karisma dan tidak
mampu berdialog atau berurusan dengan pihak pelabur mahupun rakan
sejawatannya. Pendek kata, beliau menampilkan diri sebagai seorang Ketua
Kampung dan bukannya Menteri Besar.
Jika rakyat inginkan seorang agamawan memegang kuasa, tanpa
mengambilkira kelayakannya dalam bidang-bidang lain, maka inilah
akibatnya. Lebih teruk, dari segi agama juga Azizan tidak mampu membawa
apa-apa peningkatan selain menggunakan tulisan jawi di papan-papan
tanda. Selebihnya, keadaan negeri Kedah hari ini adalah jauh lebih
‘tidak Islam’ berbanding di bawah kerajaan BN sebelum ini, dengan
pusat-pusat hiburan tumbuh bagai cendawan.
Bukan itu saja, sijil halal juga diluluskan tanpa mengikut prosedur yang
ditetapkan kerana pihak yang bertanggungjawab sudah bertahun-tahun
tidak mengadakan mesyuarat. Azizan yang bakal dicabar oleh sepupunya
sendiri, cukup sedar akan kelemahan diri. Namun, sekadar menjaga ego,
beliau terus berlagak konon yakin akan menang.
Hakikatnya, fikiran dan perasaan beliau sudah terlalu amat berserabut
sama seperti berserabutnya Pakatan Rakyat dan PAS itu sendiri. Beliau
tahu beliau tidak akan mampu untuk terus mentadbir sepenggal lagi tanpa
menghancurkan negeri Kedah.
Tidak mustahil, jauh di sudut hatinya, beliau mengharapkan kekalahan.
Kerana itu, tidak hairanlah jika beliau dikatakan sedang sibuk mengemas
pejabatnya bersedia untuk keluar. Dalam keadaan ini, tiada sebab kenapa
BN Kedah tidak mampu menang.
Sedar atau tidak, perubahan sebenarnya sudah pun berlaku, bermula dari
penamaan calon lagi. Justeru, slogan ‘ubah’ PR sebenarnya sudah tidak
relevan lagi.
No comments:
Post a Comment