Seorang lagi lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ diburu Polis bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang, berkata Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl, dipercayai mempunyai hubungan dengan Kesultanan Sulu dan insiden pencerobohan pengganas berkenaan.
“Alamat terakhirnya di RH55, Jalan Ranau Lama, Kampung Bawang di Tamparuli, Sabah dan kita percaya dia masih berada di negeri ini.
“Justeru, kita minta dia serah diri, manakala orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu siasatan polis,” katanyapada sidang media, di sini, semalam.
Kok Liang berkata, pada masa ini polis masih menyiasat latar belakang lelaki berkenaan, namun dia dipercayai ada kaitan dengan penyaluran dana kepada kumpulan pengganas.
Mengenai Ops Daulat, Kok Liang mengesahkan operasi pembersihan dan penggeledahan di Kampung Sungai Merah, Lok Buani serta Lok Sembuang sudah selesai kelmarin sekali gus 1,299 penduduk dari kawasan terbabit, yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara dibenarkan pulang.
“Pusat penempatan di Cenderawasih, Fajar Harapan dan Gemala Pura sudah ditutup, manakala pusat penempatan Embara Budi masih dihuni 106 penduduk daripada 17 keluarga, yang rumah mereka musnah atau tidak selamat diduduki.
“Pasukan keselamatan akan meningkatkan kawalan dan rondaan, terutama di kampung yang penduduknya sudah pulang supaya mereka berasa selamat,” katanya sambil menambah tiada sebarang pertempuran atau tangkapan terbaru dibuat dengan keadaan keselamatan berada pada tahap terbaik.
No comments:
Post a Comment